KERAJAAN komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berikutan terpedaya dengan sendiket penipuan kerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan dan memberi jaminan membawa mereka pulang dengan selamat.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.
“Usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan kerajaan akan memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri menjelaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti (MCCC), Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa-mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Semalam, media melaporkan ekoran MCCC dan MHO mendesak kerajaan memberi perhatian kepada isu berkenaan berikutan terdapat ramai rakyat Malaysia terkandas di beberapa negara rantau Asean akibat ditipu sendiket penipuan kerja.
Justeru, Perdana Menteri menasihatkan orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan tawaran lumayan pekerjaan luar negara.
“Saya menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost

