Bukan Ozil, tapi Papu Gomez dalam radar JDT

0
2

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan bekas pemain Arsenal, Mesut Ozil tidak pernah berada dalam radar Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, skuad Harimau Selatan itu tidak memerlukan pemain yang enggan ‘berjuang’ bermati-matian buat pasukan yang diwakilinya.

Perkara itu didedahkan Tunku Ismail dalam satu sesi temubual bersama penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Tunku Ismail menegaskan mereka tidak mahu menghabiskan duit pasukan hanya untuk membayar gaji pemain yang tidak akan berlari tiga meter untuk bertahan bersama rakan sepasukan yang lain di atas padang.

“Tiada ‘superstar’ dalam JDT. Kita mahukan pemain yang memberi komitmen tinggi, sanggup mati antara satu sama lain dan komited untuk bertahan serta menyerang sebagai satu unit.

“Jadi untuk Mesut Ozil, tidak pernah ada dalam perancangan saya kerana kalau dia bagus, kenapa tiada satu kelab ambil dia? Mungkin ada masalah peribadi, mungkin juga kerana sikap.

“Saya tak mahu burukkan sesiapa kerana saya pun tak kenal dia. Tetapi ini adalah faktor di mana kita harus buat penilaian kenapa tiada pasukan mahukan dia.

“Takkan kita mahu terima setakat untuk ada nama besar di JDT. Saya mahukan keputusan dan kejayaan bukan populis. Untuk berjaya, kita perlukan pemain yang boleh bagi 100 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail memberi bayangan tidak menolak kemungkinan untuk mengikat pemain Sevilla, Papu Gomez bakal menyarung jersi JDT sekiranya kena dengan ‘harganya’.

“(Gomez) kalau beri komitmen, harga munasabah, Insya-Allah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here