KELUHAN penoreh getah dan pekebun kecil berhubung harga komoditi getah di bawah paras harga siling akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kementeriannya dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan perbincangan bersama pada Isnin lalu bagi menentukan inisiatif untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah.
“Kedua-dua kementerian ini ada kolaboratif dan perkara ini saya fikir nak selesaikan minggu ini juga, bukan minggu hadapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Universiti Utara Malaysia (UUM) Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 di kampus UUM Sintok, di Kubang Pasu, hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UUM, Profesor Haim Hilman Abdullah serta Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad.
Mahdzir menjelaskan, pihaknya akan membentangkan hasil perbincangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada esok (Selasa) sebelum di bawa ke Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Katanya, kerajaan memberi jaminan ada inisiatif tertentu yang sedang diusahakan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah keluar dari kemelut harga yang rendah.
“Kadang-kadang kita terlepas pandang golongan penoreh dan hanya nampak pekebun kecil yang merupakan pemilik tanah semata-mata. Dalam hal ini, kedua-dua golongan tersebut wajar diberi perhatian,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan KPLB sedang merangka dua cadangan untuk diusulkan kepada Ismail Sabri bagi manfaat pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Dua syor tersebut ialah sama ada menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan. -Malaysiapost

