Rafizi lancar pungutan suara cemuh PRU15 diadakan musim banjir

0
1

SATU pungutan suara akan dilancarkan bagi menunjukkan rakyat tidak bersetuju berhubung desakan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini meskipun terpaksa berlangsung dalam suasana banjir. 

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata beliau sedang mengusahakan satu pungutan suara rakyat untuk menunjukkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Umno bahawa rakyat mencemuh parti-parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.

“Dalam tempoh seminggu dari sekarang, saya akan melancarkan pungutan suara secara digital dan kempen siap siaga banjir supaya rakyat boleh menyatakan desakan mereka agar Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi banjir.

“Tragedi yang berlaku kebelakangan ini yang melibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadi iktibar kepada semua parti politik untuk tidak ambil mudah isu perubahan iklim dan bencana alam sekitar yang menimpa rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. 

Semalam, Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi BN berkata, BN sedia meredah banjir mahupun hujan lebat jika (PRU15 diadakan tahun ini. 

Jelasnya, isyarat daripada akar umbi yang mahukan PRU15 diadakan tahun ini adalah jelas dan nyata termasuk laungan bubar oleh lebih 100,000 Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. 

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut.

“Tetapi, kalau perdana menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding,” kata Ahmad Zahid. 

Mengulas mengenainya, Rafizi berkata, kenyataan Presiden Umno itu jelas memperlekehkan risiko dan kesengsaraan rakyat sekiranya PRU15 diadakan di musim tengkujuh, sekali gus menunjukkan terpisahnya beliau dan Umno dari realiti kehidupan rakyat.

“Sementara tumpuan kerajaan-kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, Umno dan pimpinannya menolak ke tepi risiko banjir dalam kegilaan mereka mendesak PRU15 diadakan segera demi mencari kuasa.

“Keangkuhan sebegini tidak wajar dibiarkan berterusan tanpa ada tindak balas dari rakyat.

“Jika ahli politik seperti Zahid Hamidi masih tidak mengambil iktibar, wajarlah Umno dan pimpinannya disekolahkan untuk mula belajar mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here