POLIS menahan pasangan suami isteri susulan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera yang diselamatkan di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata individu yang ditahan adalah ibu saudara kanak-kanak terbabit yang berusia 33 tahun dan suaminya yang berusia 29 tahun.
Beliau berkata kedua-dua suspek berkenaan ditahan kira-kira jam 6 petang semalam dan akan dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, pasangan terbabit turut dipercayai mendera adik perempuan mangsa berusia enam tahun yang dikesan mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 4.40 petang memberitahu seorang kanak-kanak lelaki cuba untuk terjun daripada tingkat empat kondominium berkenaan.
“Polis yang hadir ditempat kejadian masuk ke dalam rumah dengan bantuan bomba dan menyelamatkan mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada dalam rumah seorang diri serta didapati mempunyai kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan dipercayai akibat didera.
“Susulan itu pada jam 6 petang polis menangkap dua suspek iaitu ubu saudara mangsa bersama suaminya. Wanita berkenaan adalah adik kepada ibu kandung mangsa dan tidak bekerja serta tiada rekod jenayah lampau, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu Grab dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Polis turut mengesan adik kepada mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia enam tahun juga mempunyai kesan kecederaan dipercayai akibat penderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa.
“Mangsa tinggal dengan suspek sejak dua tahun lalu selepas bapa kandung mereka meninggal dunia, manakala ibu kandung tidak mahu menjaga kedua-dua mangsa.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun usekamatkan selepas terperangkap di belebas tingkap dipercayai cuba untuk melarikan diri selepas dikurung di sebuah kondominium.
Kanak-kanak terbabit dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium dan mempunyai kesan kecederaan di belakang badan, tangan dan kaki dipercayai akibat didera. – Malaysiapost

