DATUK Seri Bung Moktar Radin menasihati Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman supaya berhenti mencari publisiti murahan, susulan memuat naik video di media sosial menurap jalan di kawasannya itu bagi meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, sebagai wakil rakyat, banyak lagi pendekatan berfaedah lain boleh dilakukan berbanding melakukan tindakan sedemikian.
“Saya nasihatkan sahabat saya YB Sepanggar (Azis), sudah-sudahlah buat kerja hanya semata-mata untuk mencari publisiti atau sokongan dari rakyat Sepanggar kerana PRU-15 sudah dekat… carilah isu-isu lain yg boleh menambat hati rakyat.
“Muktahir ini, saya amati ada beberapa YB (wakil rakyat) pembangkang mencari publisiti murahan hanya kerana PRU15.
“Menaiktaraf dan memperbaiki jalan raya sama ada jalan negeri, jalan persekutuan, jalan Majlis (Perbandaran atau Daerah) dan lain-lain itu ada lah tanggungjawab kerajaan dan agensi yg dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor portal Deasoka.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut mempersoalkan tindakan Azis yang dilihat baru sekarang cuba melakukan sesuatu dan bukannya ketika memegang pentadbiran pada era Warisan/PH di Sabah dahulu.
“Soalan saya mudah sahaja, mengapa Azis tidak melakukan kerja-kerja yang sama selama ini, kenapa menunggu sehingga ke hari ini?
“Semasa pemerintahan Warisan dulu banyak juga jalan yang rosak, kenapa YB ini tidak turun padang memperbaiki jalan? Rakyat Sepanggar sudah faham, sudah tahu, wakil rakyat mana yang mereka perlukan.
“Rakyat sekarang sudah tidak boleh diperkotak-katikkan, mereka sudah bijak menilai prestasi wakil rakyat mereka,” katanya.
Bung Moktar pada masa sama berkata, KKR Sabah sentiasa komited dalam menangani isu kerosakan jalan yang akan diatasi dari semasa ke semasa.
“Benar, banyak rungutan berhubung isu jalan rosak ini dan kita sentiasa peka kerana memang di sudut kerajaan, permasalahan ini kita sentiasa cuba selesaikan segera.
“Kakitangan, petugas dan jabatan berkaitan amat maklum perkara ini dan saya harap, semua perlu memberi ruang untuk KKR melaksakan tanggungjawab berkenaan, bukannya persepsi negatif yang sentiasa dimainkan segelintir pihak, ” katanya.
Semalam, Azis memuat naik aksinya di akaun Facebooknya menurap jalan rosak di sebuah lokasi di Sepanggar.
Azis turut mendedahkan antara alasan berbuat demikian kerana kecewa kerajaan lewat mengatasi masalah jalan berlubang di kawasannya. – Malaysiapost

