Elfira Loy masuk hospital akibat tekanan

0
1

PELAKON, Elfira Loy terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami tekanan.

Elfira menerusi hantaran di Instagram, berkongsi keadaannya yang tidak stabil kerana terlalu banyak berfikir dan kurang mendapatkan rehat hingga menyebabkan mengalami tekanan.

“Masa untuk berehat. Hantaran ini adalah untuk mengingatkan diri saya bahawa tubuh badan saya perlukan rehat bila saya perlukan dan terlalu banyak berfikir juga mampu menyakitkan saya.

“Gejala awal yang saya alami adalah rasa tidak stabil setiap lima hingga 10 minit. Sehari selepas itu, saya rasa lebih baik, tapi saya terlanggar cermin sisi satu kenderaan (ketika memandu), tapi sempat tarik. Tak sedar pun macam mana jadi. Tapi, saya teruskan juga dengan mesyuarat saya,” tulisnya.

Elfira turut berkongsi beberapa gambarnya yang diambil ketika dirawat di hospital.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, keadaan dirinya menjadi semakin teruk ketika berada di rumah apabila mengalami cirit-birit dan muntah.

“Selepas mesyuarat, saya pulang ke rumah dan berehat. Kemudian, saya pulang ke rumah ibu dan beritahu dia.

“Semasa waktu Isyak, saya macam sakit perut. Selepas itu, cirit-birit. Saya ambil wuduk cepat-cepat dan solat, kemudian, ketika solat saya rasa susah nak bernafas dan sakit di bahagian abdomen. Tiba-tiba saya muntah. Dua kali.

“Saya minum banyak air, kemudian terus tidur saja. Semasa tidur, saya rasa dunia berputar dan seperti dilanda ombak serta rasa nak terjatuh. Takut sangat sebab saya masih pegang Aria. Saya berpeluh pada malam itu. Itu yang saya terus pergi ke hospital,” katanya.

Bagaimanapun, Elfira bersyukur dengan keputusan pemeriksaan daripada pihak hospital yang memaklumkan tiada apa-apa memudaratkan, cuma memerlukan rehat.

“Nasib baik semua keputusan pemeriksaan okay. Alhamdulillah. Saya cuma perlukan rehat dan minum banyak air.

“Tapi, kalau berterusan lagi dalam dua hari, saya perlu lakukan imbasan CT (CT Scan), yang mana, saya nak elakkan. Jadi, mohon doakan saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here