Jangan sensasikan video untuk politik – Rina

0
1

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, menganggap video promosi yang tular di sosial media berkaitan satu program membabitkan wanita cuba disensasi dan dipolitikkan.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu diambil pengajaran dari video tular itu adalah menyahut seruan untuk membuktikan bahawa wanita mampu bangkit dari segala masalah yang membelenggu mereka hari ini.

“Kita kena buktikan kita boleh. Kita kena lihat dari sudut positif untuk membuktikan mereka yang mengata kepada kita, bahawa kita sebenarnya jauh lebih hebat.

“Saya kira dalam waktu sekarang, kita jangan hanya mahu mempolitikkan semua benda. Kita kena lihat kandungan dan matlamat program itu. Ini paling penting,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Sungai Buloh hari ini.

Rina berkata, hari ini ramai wanita memerlukan pembelaan dan program Wanita Bangkit yang dijadikan bahan tular itu mendapat sambutan amat menggalakkan apabila sasaran jumlah 1,000 peserta yang hadir bertambah kepada 1,600 orang.

“Apa yang lebih penting ramai yang mahukan pembelaan, ramai yang mahu dibantu. Kalau Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut) nak membantu, kita alu-alukan.

“Untuk kita sama-sama membantu wanita memerlukan bukan hanya mahu bercakap saja tapi tidak melakukan,” katanya mengulas kritikan Hannah berkaitan kandungan video yang tular itu.

Dalam video tular yang dimuat naik ke akaun TikTok Rina itu, pelakon dan pengarah filem serta drama, Rosyam Nor dikatakan menggunakan bahasa yang kasar.

Justeru, Rosyam menjelaskan dirinya tidak berniat untuk merendahkan martabat wanita, sebaliknya ingin memberikan kesedaran kepada wanita untuk bangkit dan bersemangat memajukan diri masing-masing.

Tambahnya, kata-katanya dalam video yang tular di media sosial sejak semalam itu perlu dilihat dari sudut positif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here