SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri seluruh Malaysia.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasminya, khemah kubik kurniaan Baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu adalah untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa-mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut kenyataan itu, majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil-wakil setiap negeri disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, setiap negeri mendapat lebih 5,000 unit khemah yang telah disampaikan oleh YSIJ.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh.

Sumbangan itu diterima oleh wakil kerajaan negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.
Wakil lain adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), Datuk Khairul Shahril Idrus.
Sementara itu, Avinderjit Singh, berkata Sultan Johor mengurniakan khemah berkenaan kepada seluruh negeri untuk kegunaan mangsa-mangsa sewaktu bencana banjir.
“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” katanya menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

