PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng hari ini mencadangkan beberapa nama menteri dalam Kabinet yang didakwa sebagai tidak cekap dalam menjalankan tugas untuk meletakkan jawatan.
Guan Eng berkata, selain tiga Menteri daripada PAS, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga didakwa sebagai tidak cekap serta perlu berundur bagi digantikan dengan pemimpin yang lebih berwibawa.
” (Prof Datuk Dr) Mohamad Agus Yusoff daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dilaporkan baru-baru ini dalam ‘Free Malaysia Today’ bahawa tiga Menteri daripada PAS tidak cekap.
“Mendahului senarai Menteri yang tidak cekap daripada PAS ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Datuk) Idris Ahmad yang tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Guan Eng berkata, Ka Siong turut ‘jatuh’ ke tahap ketidakcekapan seperti PAS apabila menyebarkan berita palsu berhubung keadaan juruterbang helikopter yang terhempas di Bidor, semalam.
“Ka Siong kemudian menukar ceritanya kepada juruterbang yang pada mulanya ditemui masih hidup tetapi kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaannya.
“Pihak polis yang merupakan sebahagian daripada pasukan pencarian menyanggah Ka Siong dengan kebenaran bahawa juruterbang itu ditemui mati di lokasi nahas.
“Bagaimana Ka Siong boleh melakukan kerjanya jika dia tidak dapat mendapatkan faktanya dengan betul?,” soalnya.
Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, sebelum ini Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin merumuskan prestasi kerajaan dengan mengakui sistem pendidikan Malaysia terbantut akibat tidak mahu melakukan perubahan.
Jelas Guan Eng, Radzi mengakui keadaan itu menyebabkan negara lain mengatasi Malaysia daripada segi pendidikan.
“Walaupun Radzi tidak menyebut negara yang mengatasi Malaysia, dia jelas merujuk kepada Vietnam dan Thailand,” katanya.
Justeru, Guan Eng berkata, kerajaan tidak sepatutnya menyalahkan orang lain serta harus ‘melihat cermin’ dan menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada masalah.
“Hadiah terbaik yang boleh diberikan oleh Menteri-Menteri yang tidak cekap ini kepada Malaysia ialah meletakkan jawatan dan membiarkan Menteri yang berwibawa mengambil alih atau jika tidak lebih banyak negara akan mengatasi kita,” katanya. – Malaysiapost

