‘Kami merayu benarkan bapa dapat rawatan sewajarnya’ – anak Najib

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Malaysia diminta membenarkan Datuk Seri Najib Razak menerima rawatan yang sewajarnya atas dasar kemanusiaan.

Rayuan tersebut dinyatakan anak bekas Perdana Menteri itu, Nooryana Najwa yang memberitahu Najib telah menjalani prosedur endoskopi pada Sabtu lalu.

Katanya, doktor menemui kesan ulser baharu di dalam perut bapanya dan masalah kesihatan bekas Perdana Menteri itu sudah berulang sejak lebih 15 tahun lalu.

“Pada tahun 2010, untuk pengetahuan umum dia (Najib) dimasukkan ke hospital selama beberapa hari kerana perkara ini.

“Pada tahun lepas, beliau juga berada di ICU (Unit Rawatan Rapi) di hospital swasta selama kira-kira seminggu di mana beliau telah menjalani lima kali pemindahan darah bagi menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya, hari ini.

Nooryana berkata, semasa ujian endoskopi dilakukan, doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) juga membuat prosedur biopsi yang menyebabkan sedikit luka dan ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.

Dalam pada itu, katanya Najib telah memohon permerhatian kesihatan di HKL namun ditolak dan hari ini hadir ke mahkamah bagi menjalani prosedur perbicaraan.

Tambah Nooryana, doktor juga menukar ubat-ubatan yang biasa dimakan oleh bapanya selama bertahun-tahun sebelum menghantarnya pulang ke Penjara Kajang.

“Pagi ini, ujian oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah DSN adalah sangat tinggi, berpotensi disebabkan oleh perubahan dalam ubat yang diberikan.

“Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya memberitahu hakim pagi ini bahawa kesihatan DSN (Najib) tidak berada dalam keadaan baik dan perlu dihantar ke hospital.

“Atas dasar kemanusiaan, keluarga kami merayu kepada pihak penjara, hospital dan kerajaan Ismail Sabri untuk melakukan perkara yang betul dan membenarkan ayah menerima rawatan dan pemerhatian perubatan yang sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dilaporkan akan dirujuk ke Hospital Kajang petang ini kerana mengalami masalah kesihatan.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika prosiding kes rasuah dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sri Ram berkata, Najib akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here