YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima dokumen tambahan berkaitan kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan, buat masa ini.
Azhar berkata, dokumen itu meliputi serahan surat daripada surat Tetuan Shafee & Co bertarikh 7 September 2022 mengenai permohonan semakan jenayah menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.
Katanya, surat itu turut melampirkan notis usul bertarikh 6 September 2022, afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Najib pada 6 September 2022 dan perakuan segera bertarikh 6 September 2022.
“Selain itu, salinan surat iringan Tetuan Shafee & Co menunjukkan pengakuan pihak Mahkamah Persekutuan menerima pemfailan permohonan semakan jenayah tersebut pada 6 September 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, beliau sudah meneliti usul tersebut dan mendapati bahawa ia satu prosiding mahkamah berkenaan dengan sabitan dan hukuman terhadap Najib dan tergolong dalam prosiding mahkamah yang lain berkenaan dengan sabitan dan hukuman seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh kerana usul ini difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, berdasarkan Perkara 48(4) (b), kuat kuasa kehilangan kelayakan Najib hanya akan berlaku setelah usul tersebut dibereskan iaitu sekiranya usul tersebut ditolak,” katanya.
Justeru beliau berkata, dengan mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul tersebut di atas difailkan, maka status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah.
“Ia akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan,” katanya. – Malaysiapost

