TUN Dr Mahathir Mohamad tidak boleh membuat ‘pukul rata’ hanya kerana tidak bersetuju dengan individu tertentu sehingga menyifatkan Umno secara keseluruhannya sebuah parti yang telah rosak.
Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyangkal tohmahan bekas Presiden yang pernah menerajui Umno selama 22 tahun itu dengan menyifatkan setiap Presiden Umno memiliki kekuatan dan kekurangan masing-masing dan Dr Mahathir tidak terkecuali daripadanya.
“Memadai dengan saya nyatakan, jika Yang Berbahagia Tun mahu memusuhi Umno, semata-mata kerana beberapa individu, insya-Allah Tun tidak akan berjaya.
“Walau hanya dengan gigi dan lidah, kita ahli ahli parti akan pertahankan parti ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu, dalam kenyataan hari ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mendakwa hukuman pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tidak mampu membersihkan Umno dari gejala rasuah.
Menurutnya, Umno tidak lagi boleh menjadi parti perjuangan orang Melayu seperti ketika era beliau dan pemimpin sebelumnya kerana telah rosak dengan gejala rasuah yang sudah sebati di setiap pucuk pimpinan hingga ke akar umbi parti berkenaan.
Dalam pada itu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno menyarankan Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno sekali gus memantapkan kedudukan parti untuk kembali disegani rakyat.
“Malah pada hemat saya, adalah lebih baik Yang Berbahagia Tun bubarkan Pejuang yang tak seberapa malah memecah belahkan orang Melayu, dan sudah pasti tak kemana. Kembalilah pada Umno untuk sama-sama perbaikinya,” katanya.
Tambah Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, bermusuh biarlah berpada-pada dan usahlah melampau.
“Masih ramai ahli Umno yang menghormati Yang Berbahagia Tun dan mengenang jasa Yang Berbahagia Tun. Begitu juga pemimpin pemimpin Umno yang lain. Jasa mereka harus dikenang,” katanya. -Malaysiapost

