Anak saudara dalang pecah rumah pelabur forex rompak RM430,000

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SEORANG pelabur forex tidak menyangka anak saudara sendiri menjadi dalang memecah masuk rumahnya yang menyebabkan wang tunai serta barang kemas dicuri.

Ianya terbongkar apabila polis menahan 12 lelaki berhubung kes kecurian wang tunai berjumlah RM430,000 dan barang kemas bernilai RM200,000 dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapat makluman dan bertindak selepas seorang pelabur forex membuat laporan polis pada 25 Ogos.

“Lelaki berusia 30-an itu mendakwa rumah sewanya dipecah masuk.

“Dia juga mendakwa wang tunai berjumlah RM430,000 dan barang kemas bernilai RM200,000 telah dilarikan dari rumah itu,” katanya dipetik The Star, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa mendakwa wang yang disimpan itu diperoleh melalui pelaburan forex sejak 2020.

“Berdasarkan maklumat risikan yang dikumpul, polis kemudian menahan 11 lelaki di sebuah stesen minyak di Seremban kira-kira jam 3.30 petang pada 31 Ogos. Kumpulan itu berkonvoi motosikal ketika polis menahan mereka,” katanya.

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut, polis turut menyita dua buah motosikal, enam telefon bimbit iPhone 13 Pro Max dan beg sandang jenama Coach.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 20-an di sebuah rumah di Klang.

“Polis merampas dua lagi telefon bimbit iPhone 13 Pro Max, dua utas jam tangan, sebuah motosikal, dan wang tunai RM1,000.

“Sebelas lelaki yang ditahan itu membawa polis ke rumah masing-masing di sekitar Klang di mana polis merampas kemudian sebuah kereta Honda Civic, enam utas gelang emas, sepasang subang, motosikal dan alat ganti kereta, dua buah motosikal, empat topi keledar dan wang tunai RM55,950,” katanya sambil menambah jumlah rampasan itu bernilai sekurang-kurangnya RM271,209.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan mendapati lima daripada 12 suspek yang ditahan terbabit dalam kes pecah rumah berkenaan.

“Siasatan kami mendapati dalang rompakan itu ialah seorang remaja lelaki berusia 19 tahun, yang merupakan anak saudara mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati RM158,791 digunakan untuk membeli aplikasi permainan, membayar bil, membayar pengubahsuaian rumah serta urus niaga tunai lain,” katanya.

Jelasnya, salah seorang daripada suspek turut menggunakan wang tunai hasil rompakan itu untuk membeli barang kemas kemas dan menghadiahkannya kepada tunangnya.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here