Satu kerugian jika KJ tidak bertanding PRU15

0
1

KHAIRY Jamaluddin (KJ) adalah aset politik yang cukup penting terutamanya bagi Umno dalam usaha mencari kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengumuman KJ yang membayangkan “worst-case scenario” untuk tidak bertanding pada PRU15 dilihat sebagai satu kerugian.

“Saya mengenali KJ secara peribadi sejak kami sama-sama bergiat aktif dalam pergerakan Pemuda Umno dan kita semua dapat lihat beliau mempunyai kebolehan tersendiri untuk deliver serta melunaskan tanggungjawab dengan baik.

“Saya juga melihat bagaimana KJ sebagai seorang rakan Menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas di dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kepimpinan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei 2022 lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KJ yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau sejak tiga penggal yang lalu menyatakan pendiriannya untuk berlapang dada memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di kerusi tersebut pada PRU15.

Katanya, sebagai Ketua Umno Bahagian Rembau, Mohamad berhak untuk menentukan dirinya bertanding di kerusi Parlimen Rembau dan KJ akan akur jika itu yang berlaku.

Bagaimanapun, KJ mengakui belum membuat persediaan atau mengintai kerusi Parlimen yang berpotensi untuk beliau tandingi.

Malah, Menteri Kesihatan itu membayangkan kemungkinan besar tidak bertanding pada PRU15 nanti jika tidak dapat bertanding pada mana-mana kerusi Parlimen.

Mengenai personaliti KJ, Reezal Merican mengakui KJ memiliki personaliti agak lantang terhadap sesuatu perkara dan tegas dengan pendiriannya.

“Ya, adakala beliau agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza. Namun ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya.

“Selain itu, KJ juga dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama (first-time voters).

“Perubahan demografi pengundi pasca Undi 18 ini juga dilihat cukup dinamik dan KJ mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat Umno dan BN,” katanya.

Sementara itu, Umno Bahagian Seremban bersedia memberikan laluan kepada KJ bertanding di Parlimen Seremban pada PRU15.

Ketua Pemudanya, Zool Amali Hussin berkata, Umno Bahagian Seremban mengalu-alukan bekas Ketua Pemuda Umno itu bertanding di Parlimen Seremban pada PRU15.

“Saya berharap pucuk pimpinan parti dapat merealisasikan impian Umno untuk bertanding di Parlimen Seremban ini dengan memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin sebagai calon pada Pru 15 akan datang.

“Dengan berbekalkan selaku bekas Menteri Belia dan Sukan, pengaruh anak muda di Negeri Sembilan terutamanya di Seremban masih ada yang menyokong beliau agar beliau bertanding di Parlimen Seremban.

“Kami di Seremban ini kecil tapak tangan, stadium paroi kami tadahkan. biarlah KJ kekal di Negeri Sembilan tetapi kali ini di Seremban,” katanya.

Untuk rekod, BN selama ini memberi kerusi Parlimen Seremban kepada MCA untuk bertanding pada setiap kali pilihan raya umum.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, kerusi berkenaan dimenangi Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dengan majoriti 30,694 undi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here