SPRM giat siasat pembabitan individu di luar negara seleweng dana 1MDB

0
1

SIASATAN terhadap beberapa individu yang berada di luar negara membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih giat dijalankan, tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Menerusi kenyataan yang dikeluar hari ini, SPRM memaklumkan agensi berkenaan sedang berusaha mendapatkan wang dan aset yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain.

“Merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan melibatkan beberapa individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1MDB baru-baru ini, SPRM ngin menjelaskan bahawa siasatan tersebut telah dilakukan dan masih giat dijalankan.

“SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset/wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terlibat.

“Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit,” menurut kenyataan itu.

SPRM juga menegaskan, sejak dua tahun lalu pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.

“Ketika ini, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA). Perkara tersebut masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

“Dalam pada itu, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai, 2022, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Justeru, SPRM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here