Najamuddin Mohd Nor
PAS masih boleh bekerjasama dengan pendosa yang telah insaf kerana tindakan itu telah membukakan pintu taubat dan pengampunan ke atasnya.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak sesekali akan bersekongkol dengan pihak yang menyembunyikan dosa dan memejamkan mata terhadap kemungkaran.
“Jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan. Namun PAS tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.
“Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus, kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta’awun yang salah dan berdosa,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS 2022 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah.
Justeru, Abdul Hadi menegaskan, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yabg terpesong daripada konsep ta’awun yang berlandaskan petunjuk al Quran.
Pada masa sama, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS konsisten mempraktikkan pendekatan mengikut petunjuk al Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk sekali gus menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan terhad.
Sehubungan itu beliau berkata, parti itu bersedia bekerjasama dengan semua pihak selagi tidak mengamalkan perpaduan kaum yang sempit dan tidak istiqamah terhadap Islam.
“PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keihkhlasan untuk mencari jalan supaya kembali kepada Islam.
“Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya. -Malaysiapost

