USUL menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan mengusahakan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diluluskan sebulat suara oleh Dewan Ulamak Pas, hari ini.
Usul tersebut dibawa dan dibentangkan wakil Kelantan, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan diterima untuk dibawa ke Muktamar Pas ke-68 yang akan mula berlangsung esok.
Dalam usul tersebut Dewan Ulamak Pas diminta memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu-Islam dapat disatukan di bawah agenda penyatuan ummah.
“Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksana bagi mengelak pertembungan sesama sendiri di kawasan majoriti pengundi Melayu supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH.
“Seterusnya menolak sebarang kerjasama politik dengan PH dalam PRU ke-15 nanti,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul pada Muktamar Dewan Ulama Pas ke-61 di Guar Chempedak, Kedah hari ini.
Wakil Dewan Ulamak Pas Pahang, Nasrudin Hassan, tampil menyokong usul berkenaan.
Dalam ucapannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selising itu berkata dalam situasi politik semasa, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru perkiraan atas kertas menunjukkan PH boleh mencatat kemenangan besar.
“PAS akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan PH tidak kembali ke tampuk pemerintahan.
“Pengalaman 22 bulan di bawah pemerintahan PH, rakyat sudah merasai pengalaman yang cukup perit,” katanya.
Sehubungan itu dia antara lain menyeru perwakilan agar mempamerkan sikap yang selari dengan usul tersebut.
“Jangan kita sebut kita nak menyatukan ummah melibatkan Umno, Bersatu dan sebagainya. Tetapi dalam jiwa kita, dalam kenyataan kita, sama ada kepada media atau di media sosial kita menunjukkan sikap yang tidak menyatukan,” katanya.
Usul tersebut kemudian dibuka untuk perbahasan, namun seluruh perwakilan sebulat suara menerima usul berkenaan tanpa dibahaskan. – Malaysiapost

