Rosmah buat rayuan dalam masa terdekat

0
1

NOTIS rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun dan denda RM970 juta akan dikemukakan pihak pembelaan dalam tempoh terdekat.

Peguam, Datuk Jagjit Singh berkata, rayuan itu akan dibuat dalam tempoh 10 hari seperti ditetapkan mahkamah.

“Ya, saya akan mengemukakan notis rayuan. Kita buat rayuan ikut masa diberi (mahkamah), mungkin esok. Kita ada 10 hari untuk merayu terhadap semua kes itu.

“Rosmah dibebaskan dengan jaminan ditetapkan oleh mahkamah. Syukur kepada tuhan, Rosmah boleh pulang ke rumah malam ini untuk bersama keluarga,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan.

“Kita tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan hingga Jabatan Peguam Negara (AGC) berasa sebaliknya. Saya juga ingin memberi kredit kepada pasukan pendakwaan dalam kes ini yang menjadi sumber kekuatan saya.

“Tiada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat yang mempunyai kepentingan peribadi dalam kes ini. Kami diberi tugas dan kami melakukannya. Sebarang tuduhan dilemparkan kepada Timbalan Pendakwa Raya ada yang tidak adil.

“Kredit yang besar untuk pendakwaan kes ini juga harus diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Menurutnya, pihak pendakwaan sudah menjalankan tugas terbaik bagi memenuhi aspirasi mahkamah membabitkan perbicaraan kes rasuah Rosmah.

“Korupsi (rasuah) adalah satu perkara yang jahat. Saya berasa orang awam sedar ia adalah jahat dan kami berkhidmat untuk mereka.

“Sistem kehakiman dan pendakwaan menerima bahagian keadilan mereka. Keadilan bukan sahaja untuk tertuduh, tetapi ia untuk semua,” katanya.

Sri Ram berkata, sebagai bekas hakim, beliau mengetahui bahawa hukuman diberikan terhadap Rosmah oleh Mohamed Zaini bukan satu perkara mudah.

Katanya, hakim itu perlu adil dalam membuat keputusan dan merasakan hukuman penjara 10 tahun itu mencukupi.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan. – Maaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here