PN, BN perlu bincang jika ingin tawan Selangor

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu berbincang jika ingin menawan kembali Selangor, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, perbincangan itu membabitkan 27 kerusi yang dirasakan akan berlaku pertembungan calon-calon daripada parti-parti kedua-dua gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita tengok ada beberapa perkara yang perlu untuk duduk bersama contoh kalau kita nak tawan Selangor, saya fikir Pas, PN dan BN perlu duduk bersama.

“Begitu juga 27 kerusi yang kritikal kita rasa akan bertembung, bagaimanapun terpulang…Pas kita terbuka dalam hal ini untuk lihat kepentingan tersebut walaupun dari segi parti kita sudah sedia dari segi situasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas, di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata pertembungan calon daripada PN dan BN hanya akan merugikan kedua-dua gabungan berkenaan.

“Sebanyak 27 kerusi yang kita rasa kalau bertembung dua parti akan rugi. PN rugi, BN pun rugi.

“Kerusi itu kita akan adakan rundingan kalau sekiranya mereka bersetuju, tapi bagi Pas mengenai PRU tiada isu,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat Mohd Zuhdi Marsuki, berkata parti itu perlu segera mencari jalan mewujudkan “kerusi Muafakat Nasional” bersama Umno-BN.

Ia bagi mengelak pertembungan sesama sendiri di 27 kerusi yang dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PRU-15 boleh diadakan pada bila-bila masa saja sekarang dan Muafakat Nasional (MN) adalah kaedah yang mampu menafikan kemaraan PH.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Pas mendukung penyatuan ummah, namun sehingga kini belum ada perbincangan dengan BN mengenai perkara itu.

“Belum ada (rundingan), cuma hubungan kita dalam konteks kerajaan persekutuan, sangat baik tiada masalah.

“Cuma dalam konteks parti belum. Kerusi dimenangi oleh PH akibat pertembungan antara PN-BN contoh Raub, Bentong, maknanya 27 kerusi ini memerlukan rundingan dengan BN.

“Sebab 27 kerusi ini ada yang Pas menang, ada yang Umno menang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here