KENYATAAN Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan Umno tidak mungkin akan berada dalam kerajaan jika tidak kerana Bersatu, disifatkan sebagai kenyataan ‘songsang’.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil, menegaskan sebaliknya Bersatu dan Pas yang tidak akan jadi kerajaan tanpa Umno.
Menurutnya, ia kerana Umno ingin membubarkan Parlimen selepas ‘Langkah Sheraton’ dan jika ia berlaku Bersatu dan Pas tidak akan jadi kerajaan.
“Kenyataan ini songsang Tuan Ibrahim. Selepas Langkah Sheraton, Bersatu dan Pas yang tidak akan jadi kerajaan tanpa UMNO.
“Kami ingin bubar Parlimen semasa Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan. Kamu yang ingin angkat Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri.
“Apabila tidak boleh bubar sebab Covid-19, maka baru kami sokong untuk bentuk kerajaan. Jika kami tidak sokong, kamu pun tidak jadi menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan dibuat Tuan Ibrahim berhubung perkara itu ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas di Kedah, hari ini.
Isham berkata, Muhyiddin pernah mengugut ingin menarik sokongan kepada kerajaan ketika ini dan pernah menyatakan perkara sama kononnya sebab sokongan beliau Umno boleh jadi kerajaan.
“Oleh itu jika kamu begitu berkuasa dan tidak suka Umno, mengapa tidak tarik-tarik lagi sokongan? Takut hilang jawatan dan kalah pilihan raya?
“Janganlah sombong dan angkuh sangat. Islam tidak ajar untuk jadi sombong dan angkuh,” katanya. – Malaysiapost

