SUNGGUH meriah, berwarna-warni dan ceria sekali suasana Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini.
Itu gambaran diberikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut hadir bersama isterinya.

Beliau berkata, bukan sahaja peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan sahaja dilihat bersemangat, malah pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka juga sanggup datang memberi sokongan.
“Syabas kepada semua yang mengambil bahagian dalam acara perarakan dan persembahan. Sangat menarik dan tinggi dengan semangat patriotik.
“Tahniah juga buat orang ramai yang hadir ke Dataran Merdeka sejak awal pagi tadi untuk bersama raikan Hari Kebangsaan serta seluruh rakyat yang menonton secara siaran langsung. Keluarga Malaysia Teguh Bersama!,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Yang Seri di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis ini.
Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan Menteri, Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan, Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Asing. – Malaysiapost

