KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yakin rakyat tidak akan terpedaya buat kali kedua dengan helah politik Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Zahida berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan kedua-dua parti itu akan bergabung dan menjalinkan kerjasama untuk menghadapi PRU15.
“PN adalah serpihan PH. Yang berjaya tubuh kerajaan hasil penipuan dan harapan palsu pada rakyat ketika PRU14 lepas.
“Kali ni tak mustahil mereka akan bergabung semula dan ulang skrip penipuan sama,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Zahida, Barisan Nasional (BN) tidak ambil peduli mengenai kerjasama kedua-dua parti itu kerana sudah berazam untuk berlawan habis-habisan.
“Adakah mereka fikir rakyat bodoh Adakah mereka fikir rakyat akan relakan dipatuk ular yang sama dari lubang yang sama?
“PH atau PN, bergabung atau tidak, kita tetap akan lawan mereka habis habisan,” katanya.
Semalam, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sesaan supaya pembangkang membuka pintu rundingan bekerjasama dengan PN adalah rasional jika mahu memastikan BN tidak lagi memerintah selepas PRU15.
Radzi berpandangan, parti memusuhi BN wajar mempertimbangkannya bagi merangka strategi khususnya memastikan satu lawan satu dalam meningkatkan peluang menang.
“Mesej (pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas, bahawa politik ini dinamik dan apa juga boleh berlaku dalam politik.
“Dalam konteks ini, apa yang penting ialah untuk kita lihat, BN tidak kembali memerintah selepas PRU15,” katanya. – Malaysiapost

