PENGALAMAN 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) sudah cukup untuk PAS membuat keputusan muktamad untuk tidak menyertai projek khemah besar mereka.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata pengalaman itu cukup untuk mematikan selera PAS berkongsi impian bersama PH untuk bersama dalam khemah besar.
Beliau berkata, keputusan PAS muktamad selari kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meletakkan kepentingan utama dalam agenda pembentukan perpaduan ummah.
“Pada 18 April 2022 lalu, YB Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan PH untuk hadapi PRU15 akan datang.
“Agenda perpaduan ummah tentu sahaja tidak melibatkan parti yang tegar menentang Islam dan mempunyai agenda yang jelas untuk menghalang Islam berkembang dan tegak di bumi bertuah ini.
“Sebaliknya agenda perpaduan ummah adalah usaha untuk melunak dan menyatukan parti-parti umat Islam serta parti-parti lain yang tidak eksterim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nasruddin juga menegaskan, PAS tidak sesekali mempertaruhkan kepentingan Islam untuk mencapai kemenangan pada PRU15.
“Meskipun PAS mahu mencapai kemenangan dan berkuasa, namun sekali-kali PAS tidak akan mempertaruhkan kepentingan Islam yang diperjuangkan selama ini semata-mata kerana kuasa,” katanya.
Untuk rekod, PAS kini menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu dan bersedia menggunakan lambang PN pada PRU15 ini. – Malaysiapost

