Final Piala FA: Terengganu umum cuti peristiwa 11 September

0
2

KERAJAAN Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September sempena perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 September depan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di jalan raya dan dapat mengatur masa untuk perjalanan pulang.

“Alhamdulillah, seperti yang kita sedia maklum, TFC berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil pada 10 September 2022, Sabtu nanti, bertemu dengan pasukan JDT.

“Berikutan itu kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan 11 September 2022 iaitu hari Ahad sebagai cuti peristiwa bagi Terengganu.

“Kepada pasukan kesayangan semua, saya berharap pemain dapat memberikan fokus yang maksimum dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekali gus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu, Insya-Allah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, penantian TFC selama 11 tahun berakhir selepas mara ke pentas final merebut trofi berprestij dengan melangkah ke pentas akhir.

Ia susulan kejayaan membenam Selangor FC dengan penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan sebenar terikat 1-1 pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Kali terakhir Terengganu menjulang trofi piala itu pada 2011 bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim selepas menumpaskan pasukan jiran, Kelantan 2-1. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here