Air Force The Movie raih kutipan RM6 juta 

0
2

KARYA filem aksi ketenteraan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa selepas tiga hari ditayangkan, berjaya meraih kutipan tiket sebanyak RM6 juta.

Berita itu dikongsi pengarah filem berkenaan, Zulkarnain Azhar dan Frank See menerusi hantaran di Instagram.

 “Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya mengutip RM6 juta selepas tiga hari tayangan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini,” tulisnya.

Selain ditayangkan di Malaysia, sejak 25 Ogos lalu, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa turut ditayangkan secara serentak di seluruh pawagam di Singapura dan Brunei.

Filem yang menjalani penggambaran di Sabah dan Pahang itu dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, ia mendapat kerjasama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Filem aksi ketenteraan itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Redza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corrine, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Naskhah aksi berkenaan mengisahkan tentang Pasukan Khas Udara (PASKAU) diketuai Mejar Adnan (Adi Putra) telah terkandas di sebuah wilayah bergolak, Namburi selepas kapal terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditembak pihak musuh ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Mengetahui perkembangan itu, TUDM telah mengarahkan satu misi untuk menyelamatkan anggota PASKAU yang diketuai oleh Zafran (Aiman Hakim Redza) yang juga merupakan seorang juruterbang pesawat juang Sukhoi.

Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here