Najib tak pernah minta campur tangan kerajaan, pengaruhi keputusan hakim

0
2

DATUK Seri Najib Razak tidak pernah meminta campur tangan kerajaan mahupun cuba mempengaruhi keputusan hakim berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata perkara itu dinyatakannya berdasarkan pengalaman beliau sebagai peguam bekas Perdana Menteri itu.

“Saya juga ingin mengatakan apa yang saya tahu banyak aspek-aspek kes itu yang kita tak sempat nak kemukakan atas sebab-sebab tertentu.

“Tapi dua perkara yang saya terlibat, yang pertama Najib tidak pernah mengarah saya, peguamnya atau sesiapapun untuk cuba mencari jalan untuk campur tangan kerajaan dalam kes itu.

“Tidak pernah dia menyebutkan kita perlu cari jalan mempengaruhi keputusan hakim dan tidak pernah dia meminta mencari jalan usaha untuk menarik balik pertuduhan itu.

“Kedua, kita minta masa kerana perubahan peguam ini dilakukan bukan dengan niat melambat-lambatkan kes itu kerana sebelum ini dia tewas di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan jadi dia ada satu peluang lagi adalah munasabah untuk beliau memikirkan peguam, cara dan pendekatan lain,” katanya dalam rakaman video di Facebooknya.

Sehubungan itu, Zaid berkata, tohmahan dan fitnah yang dilakukan kepada Najib adalah tidak adil sama sekali.

“Apa yang kita diminta lakukan sekurang-kurangnya dari pihak saya dua perkara, pertama kita diminta untuk menyakinkan mahkamah membenarkan bukti baharu yang beliau terima (dalam satu sampul surat dua bulan lalu).

“Bukti yang menunjukkan bahawa Hakim yang membicarakan kes dia, Hakim (Datuk) Mohd Nazlan mempunyai kepentingan yang bercanggah dengan kemampuan beliau sebagai hakim untuk mengendalikan kes ini.

“Jika ada perkara ini (conflict of interest) pada hakim itu, beliau tidak sepatutnya menghakimi kes itu, ini bukti yang kita nak bawa kepada mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here