Bajet 2023 dibentang pada 7 Oktober

0
2

PEMBENTANGAN Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 26 Oktober depan kini diawalkan pada 7 Oktober.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, Bajet 2023 akan dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang bermula pada 3 Oktober 2022.

“Takwim sebelum ini bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 (31 hari) bagi Dewan Rakyat dan 8 hingga 22 Disember 2022 (9 hari) bagi Dewan Negara selepas dipersetujui Jemaah Menteri.

“Takwim baharu yang dicadangkan adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perubahan itu dilakukan kerana terdapat keperluan untuk kerajaan meminda takwim Mesyuarat Ketiga bagi membolehkan pembentangan Bajet 2023 dipercepatkan.

“Selain itu, ia bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2022 dan RUU Tanggungjawab Fiskal dibentangkan sebaik RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri mengenakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, untuk meminda tarikh daripada 26 Oktober 2022 dan diawalkan kepada 3 Oktober 2022,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, keputusan terbaharu yang menyaksikan pembentangan bajet itu diawalkan tiga minggu daripada tarikh jadual asal menjadi petunjuk bahawa pilihan raya umum bakal diadakan tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here