Membela kemanusiaan, melawan penindasan terhadap Uyghur

0
1
https://www.renecassin.org/event/forced-labour-and-genocide-then-and-now/

PENDERITAAN Uyghur adalah salah satu lagi episod hitam kemanusiaan yang sedang berlaku secara langsung oleh sebuah kuasa besar ke atas etnik minoriti dan dunia sedang seumpamanya hanya mampu melihat sahaja seksaan dan penindasan ini berlaku tanpa berkemampuan untuk berbuat apa-apa. Ini adalah suatu fakta yang menyedihkan.

China cuba menutup dan menipu dunia dengan mengatakan seolah-olah bahawa tahanan Uyghur ini dikumpulkan untuk dididik semula minda mereka yang terpengaruh dengan idea subversif menentang China. Hakikatnya kem ‘pendidikan semula’ ini hanyalah sebuah penjara tanpa jeriji untuk tahanan di situ. Malah ada laporan daripada Al Jazeera yang menyatakan bahawa tahanan Uyghur ini ditahan untuk dieksploitasi organ tubuh mereka untuk pasaran gelap. Begitulah kegilaan kemanusiaan yang sedang berlaku di sana.

Lebih mengecewakan lagi adalah apabila perlarian Uyghur ini cuba untuk mendapatkan pembelaan nasib di tempat lain, beberapa negara seperti Arab Saudi, Mesir dan UAE turut membantu China untuk memburu perlarian ini dan menghantar mereka kepada kem tahanan China. Sudah tentu hanya kecelakaan yang menanti mereka di sana. Saya benar-benar tidak faham bagaimana hubungan ekonomi dan perlaburan strategik boleh mengatasi sifat kemanusiaan dan belas kasihan sesama insan.

Lebih mengecewakan lagi adalah Malaysia sendiri telah enggan untuk mengutus surat kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2019 untuk mengutuk dan mengecam tindakan terhina oleh China ini. Begitulah bagaimana kerajaan terdahulu mengecewakan kemanusiaan dan Malaysia.

Ramai yang menyatakan bahawa Malaysia perlu lebih berhati-hati dan cermat dalam mengulas isu Uyghur ini memandangkan kepada jumlah besar pelaburan China kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Saya fikir ini adalah suatu pemikiran yang bacul, kecil dan penakut. Malaysia bukan negara orang-orang yang tunduk hormat kepada penindasan. Malaysia adalah negara yang berani untuk menentang kuasa besar sekalipun, kerana Malaysia adalah negara yang tidak pernah gentar bercakap tentang kebenaran.

Untuk ini saya harus memberikan tabik hormat kepada kepimpinan Malaysia kini. Ketegasan kita untuk membangkitkan isu Uyghur semasa pertemuan bersama Menteri Luar China, Wang Yi, adalah contoh pembela umat Islam yang berani. Malaysia tidak sorok-sorok tetapi secara terbuka membangkitkan isu itu terus kepada anggota pemerintahan China.

Usaha Malaysia mungkin belum cukup, cuma saya berharap kita ada lebih ramai pemimpin dunia seperti yang kita ada di Malaysia ini yang berani melawan kezaliman dan berpegang teguh dengan keadilan. Semoga Uyghur mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

Artikel ini ditulis oleh NGO Malaysia For Uyghur (M4U)

Kredit Foto: renecassin.org

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here