BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang membiasakan diri dengan rutin baharunya di dalam Penjara Kajang yang jauh berbeza dengan rutin harian ‘Bossku’ yang sangat padat.
Perkembangan terkini Ahli Parlimen Pekan itu dimaklumkan oleh anak keempatnya Nooryana Najwa dalam satu hantaran di Instagram (IG) Story malam tadi.

Menurut Nooryana, bapanya juga dalam keadaan sihat dan semangat juangnya masih kuat.
“Salam semua, saya pasti ramai yang menanti perkembangan terkini keadaan Bossku.
“Hari ini (semalam) wakil dari peguam dapat berjumpa dengan Daddy di Penjara Kajang. Alhamdulillah, Daddy dalam keadaan sihat dan semangat perjuangan Daddy masih kuat.
“Keperluan asas Daddy juga telah diberikan dan Daddy sedang membiasakan diri dengan rutin baru, berbeza dengan jadual harian Bossku yang sentiasa padat,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Menurutnya, beliau sekeluarga akan bertemu dengan Najib hari ini ketika bapanya itu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Yana rasa ini kali pertama kami menanti kehadiran Daddy di mahkamah kerana saya dan keluarga dapat meninjau keadaan Daddy walaupun dari jauh,” katanya.
Sementara itu, beliau dan keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai Penjara Kajang yang mengambil berat keadaan bapanya.

“Terima kasih kami ucapkan kepada pegawai dan pengawal di Penjara Kajang kerana ambil berat keadaan Daddy. Kami sangat hargai keprihatinan mereka.
“Sekian saja perkembangan terkini dari saya dan keluarga. Jaga diri baik-baik. Goodnight everyone. Yang benar, Yana dan keluarga,” katanya. – Malaysiapost

