BARISAN Nasional (BN) sentiasa berpegang kepada prinsip suatu proses perbicaraan yang tidak terangkum dalam maksim ‘justice hurried is justice burried’ (keadilan tergesa-gesa, menguburkan sebuah keadilan) dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan keihsanan.
Ini bagi membolehkan seorang perayu diberikan hak secukupnya untuk mempertahankan dirinya, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan, mengekalkan sabitan bersalah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, teras kedaulatan undang-undang akan terus menjadi prinsip dan panduan BN.
“Justeru seperti yang disebutkan oleh Lord Chief Justice Hewart, setiap proses perbicaraan hendaklah bukan sekadar keadilan dilaksanakan tetapi hendaklah juga dilihat secara jelas dan tanpa ragu bahawa keadilan dilaksanakan.
“Maka ruang dan proses keadilan sepenuhnya hendaklah diberikan kepada Najib berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Zambry berkata, BN turut berkongsi kesedihan dan dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib.
Katanya, selaku Penasihat Barisan Nasional, Najib banyak berjasa memastikan kemantapan parti dan kejayaan dalam pelbagai gerak kerja pilihanraya.
“Marilah kita terus sama-sama bersolidariti dan mendoakan agar Datuk Seri Najib diberikan kecekalan, kesabaran, dan kekuatan daya dalam menghadapi mihnah besar ini.
“BN juga merayu kepada semua pendokong agar dapat mengekalkan ketenangan dan keharmonian dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya. – Malaysiapost

