JABATAN Penjara menafikan dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.
Jabatan itu menerusi hantaran di Facebook meminta penyebaran maklumat palsu berhubung kemudahan penjara untuk orang kenamaan (VIP) dihentikan.
Selain itu, jabatan tersebut menjelaskan penularan satu gambar dikatakan sel VIP dengan kemudahan lebih selesa berbanding sel penghuni penjara yang lain, adalah palsu.
“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” kata jabatan itu ringkas.
Semalam, tular di laman Facebook seorang pengguna memuat naik gambar sebuah bilik yang dikatakan sel penjara mewah untuk VIP.
Dalam hantaran itu turut dinyatakan sel bagi VIP diberikan kemudahan televisyen, internet, buku, penghawa dingin, katil dan tilam.
Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International.
Najib dipenjarakan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Maka dengan sabitan pertuduhan berkenaan, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun, berkuatkuasa semalam. – Malaysiapost

