Dr Noor Hisham tegur Noh Hujan ‘catwalk’ sambil pegang rokok

0
1

TINDAKAN vokalis Hujan, Noh Salleh muncul di pentas peragaan sambil memegang sebatang rokok, turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius isu selebriti menonjolkan tingkah laku seperti merokok serta menghisap vape di khalayak ramai dan di pentas persembahan.

“Perbuatan ini menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kanak-kanak dan remaja.

“Dari sudut kesihatan, perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan baik kepada perokok dan orang di sekeliling mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai selebriti tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan masyarakat dan menjadi ikutan.

Oleh itu, tegas beliau, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku yang baik serta boleh menjadi teladan kepada masyarakat.

“Ini juga selaras hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya kawalan terhadap produk merokok secara komprehensif dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok di kalangan masyarakat Malaysia.

“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Penampilan Noh di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) menjadi perhatian kerana muncul peragaan sambil memegang sebatang rokok yang tidak dinyalakan.

Menerusi satu video di TikTok memaparkan Noh membuat aksi cuba meminta pemetik rokok daripada hadirin yang berada di hadapannya sebelum meneruskan langkah sambil meletakkan rokok tersebut di mulutnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here