Amanat terakhir Najib mesti diteruskan

0
1

KEPIMPINAN Umno dan Barisan Nasional (BN) menyatakan rasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir Datuk Seri Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata walaupun menghormati keputusan berkenaan, namun tetap merasa terkilan kerana ruang untuk bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu telah dinafikan.

“Sudah tentu sukar untuk menyembunyikan rasa sayu, sedih dan dukacita dengan keputusan akhir Mahkamah Persekutuan hari ini (semalam).

“Walaupun berat hati untuk menerimanya, tetapi inilah keputusan yang telah dibuat setelah Datuk Seri Najib Razak melaluinya dengan penuh cekal dan hemah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Najib menghadapi pelbagai tekanan hebat sejak dari awal proses pendakwaan, namun tidak pernah berganjak, malah tegas berkali-kali mahu membersihkan nama beliau di mahkamah tanpa sekalipun meminta untuk kesnya dibuang atau digugurkan.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pekan itu hanya konsisten meminta agar mendapat peluang dibicarakan secara adil.

“Jauh sekali untuk dibandingkan dengan pengalaman 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, yang menyaksikan sejumlah besar kes-kes pemimpin mereka begitu mudah digugurkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

“Rakyat tidak akan pernah lupa bagaimana sistem keadilan dirobek dan diperkotak-katik melalui amalan pendakwaan politik terpilih dan campur tangan jelas dalam sistem kehakiman,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, apa yang penting kini adalah perjuangan mesti diteruskan sebagaimana amanat terakhir Najib kepada semua kepimpinan serta ahli Umno dan BN demi kemaslahatan rakyat dan tanah air yang tercinta.

“Buat keluarga Datuk Seri Najib, bertabahlah, bersabarlah dengan dugaan yang menimpa hari ini.

“Kita mungkin kalah dan merasakan keadilan tidak memihak kepada kita hari ini, namun percayalah ada Mahkamah yang lebih besar di hadapan Allah nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yang baru kematian suami turut berkongsi perasaan sedih dengan apa yang dialami Najib.

“Dalam kesedihan kehilangan orang tersayang..Hari ini (semalam) datang satu lagi berita sedih pada saya, pada parti saya, penyokong malah rakyat Malaysia yang menyaksikan episod politik di negara kita.

“Tidak kurang yang bersorak gembira atas musibah melanda bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Seperti luahan beliau, tidak mendapat keadilan sepatutnya apabila permohonan memasukkan bukti bukti baru ditolak dan semua permohonan lain turut sama ditolak,” katanya.

Menurutnya, persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat ketika ini adalah mengapa seperti tergesa gesa mahu memenjarakan Najib.

“Hari ini jadi satu sejarah hitam bukan sahaja pada beliau, malah kepada rakyat sekiranya ingin mendapat pembelaan yang adil. Turut bersedih atas apa yang menimpa Ds Najib Razak dan keluarga.

“Sama sama kita doakan agar beliau terus tabah, dikurniakan kesihatan yang baik, dan semoga beliau akan mendapat keadilan sebenar benarnya.

“Saya turut menuntut pihak berkuasa meneruskan usaha menjejak nama nama lain yang terlibat termasuk Jo Low, Nik Faisal, begitu juga Zeti (bekas Gabenor Bank Negara Malaysia) dan suaminya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here