Penyokong Najib mahu saman penfitnah 

0
1

“KAMI tidak dibayar walau satu sen pun untuk hadir memberi sokongan kepada bossku, demikian kata Noriah Ibrahim.  

Dia yang ditemui di luar pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya berkata, semua penyokong Datuk Seri Najib Razak yang hadir pada setiap hari prosiding rayuan bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International adalah ikhlas.  

“Kami hadir untuk memberi sokongan moral kepada Datuk Seri Najib kerana jasanya yang banyak kepada rakyat dan negara.  

“Ini tanda solidariti kami terhadapnya dan kami ikhlas tidak dibayar sesen pun untuk ke sini. Biar keperitan beliau turut dirasai sama dengan kami, susah senang kita bersama. Kami kenang jasa beliau,” katanya kepada Malaysiapost.  

Sehubungan itu, Noriah berkata, dia dan sekumpulan penyokong akan membuat laporan polis berkenaan tular klip video di media sosial yang mendakwa para penyokong Najib diberi upah dan habuan wang ringgit setiap kali datang ke Mahkamah Persekutuan.  

Menurutnya, beberapa laman sosial yang memaparkan wajahnya dan beberapa penyokong Najib telah dikenal pasti.  

“Dalam klip video itu memaparkan wajah saya dan beberapa orang yang lain kononnya kami diberi upah. Ini satu fitnah yang dahsyat.  

“Kononnya kami diberi upah atau habuan berdasarkan beberapa kategori, membaca doa ini upahnya, bersorak ini upahnya, dan sebagainya. Ini fitnah dan telah memalukan kami.  

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman laman-laman media sosial tersebut kerana membuat fitnah sehingga kami dikecam dan menjadi mangsa buli siber,” katanya.  

Noriah menjelaskan, sebagai tindakan awal satu laporan polis akan dibuat di Balai Polis Wangsa Maju, esok.  

Ditanya mengenai kes rayuan Najib, Noriah menegaskan, bekas Presiden Umno itu wajar diberi peluang keadilan yang seluas-luasnya.  

“Saya berharap beliau diberi keadilan dan ketelusan dalam kes ini. Beri peluang beliau membela diri dengan baik terutamanya bukti-bukti baru yang cuba dikemukakan beliau.  

“Sebagai bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara, selayaknya beliau dilayan, diadili dengan telus dan sempurna,”  katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here