PEMUDA Umno akan membuat laporan polis berhubung penularan satu dokumen yang didakwa keputusan penghakiman Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan terhadap kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International di media sosial .
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata laporan polis tersebut dibuat agar siasatan segera dapat dilakukan terhadap penularan dokumen terbabit.
“Amat memeranjatkan apabila tular satu dokumen yang dikatakan satu kertas keputusan penghakiman Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Kes SRC Datuk Seri Najib Razak walaupun prosiding mahkamah masih berjalan.
“Persoalannya apakah dokumen ini benar dan asli? Apakah ada agenda jahat untuk memperkotak-katikkan prinsip keadilan dalam negara?
“Perlu ada penafian segera daripada pihak Mahkamah agar tidak timbul prasangka negatif yang boleh mencalar imej institusi kehakiman negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Hari ini, tular satu dokumen dikatakan keputusan penghakiman bekas Perdana Menteri itu yang dimuat naik portal Malaysia Today.
Mahkamah Persekutuan hari ini diteruskan dengan keputusan rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ia dimulakan dengan Peguam bela Najib, Hisyam Teh Poh Teik, dengan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sudah memfailkan permohonan agar Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menarik diri daripada mempengerusikan panel hakim yang mendengar kes bekas perdana menteri itu.
Terkini, permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dalam rayuan kes SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan. – Malaysiapost

