MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya hari ini mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah, lapor Berita Harian.
Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.
“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.
“Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.
Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini.
Turut kelihatan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengelilingi Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib yang hadir ke mahkamah dengan memakai sut, kelihatan muram dan ditenangkan oleh ahli keluarga dan penyokong yang berada di mahkamah.
Sementara itu di luar mahkamah, walaupun hujan, penyokong Najib tetap tidak berganjak dari luar perkarangan Mahkamah Persekutuan, petang ini.
Ratusan penyokongnya ada yang berpayung dan ada yang sanggup basah menunggu keputusan mahkamah yang dibaca petang ini.
Bagaimanapun, mereka hanya boleh berkumpul dan dilarang melepasi penghadang besi yang ditempatkan di luar mahkamah itu. – Malaysiapost

