Pemimpin tertinggi Umno hadir di kediaman rasmi PM

0
1

KENDERAAN membawa beberapa pemimpin Umno dilihat memasuki perkarangan Kompleks Seri Perdana di Putrajaya sejak jam 6 petang tadi.

Antara yang terawal dilihat memasuki kompleks berkenaan adalah kenderaan milik Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selepas satu jam kemudian, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dilihat berhenti di hadapan balai pengawal kompleks tersebut sebelum meneruskan perjalanan namun tidak dapat dipastikan pemiliknya.

Dalam pada itu, satu sumber mengesahkan pertemuan antara pemimpin-pemimpin itu berlangsung kira-kira jam 8 malam tadi.

Petang tadi, seramai 158 ketua bahagian Umno yang hadir ke mesyuarat tergempar di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur mendesak pilihan raya umum diadakan dengan kadar segera.

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, desakan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat tertinggi parti terdekat.

Dalam mesyuarat tergempar itu, hanya tiga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang hadir, manakala Ismail Sabri serta Mahdzir tidak hadir kerana ada urusan lain.

Terdahulu, media melaporkan pemimpin tertinggi Umno dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam ini.

Sumber dalaman Umno menyebut, pertemuan itu dibuat selepas Perdana Menteri yang juga Ketua Umno Bera tidak menghadiri pertemuan tergempar ketua bahagian bersama pemimpin parti di ibu pejabat Umno, hari ini. – Malaysiapost

Kredit foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here