Najib lafaz sumpah muhabalah

0
1

DATUK Seri Najib Razak melafazkan sumpah mubahalah bagi menafikan pembabitannya dalam penyelewengan dana SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, lafaz sumpah itu bertujuan untuk membersihkan nama dirinya, keluarga dan kedua ibu bapanya. 

Dalam lafaz sumpahnya, Najib berkata, dia mengakui tidak menyedari sama ada secara langsung atau tidak bahawa duit sebanyak RM42 juta yang masuk ke akaunnya adalah dari SRC International.

“Aku, Mohd Najib bin Abdul Razak setelah berjuang untuk mendapat keadilan ke atas diri di dunia ini, dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalah ku. 

“…Aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.

“…Aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkul apa-apa dana SRC bagi tujuan kegunaan peribadi ku atau tujuan kegunaan keluarga ku.

“…Aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun,” katanya ketika melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini. 

Perkembangan ini hadir menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.

Terdahulu, bekas Presiden Umno itu tiba di masjid sebelum masuk waktu solat Isyak dengan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Ashman serta beberapa pemimpin politik serta penyokong.

Turut kelihatan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Ketibaan Najib di masjid disambut oleh penyokongnya yang hadir memberi sokongan dan turut serta menunaikan solat hajat buat Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib yang berbaju Melayu putih menzahirkan rasa kecewa di atas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.

Dalam ucapan mubahalahnya, Najib mendakwa beliau juga tidak terlibat dalam mesyuarat Kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC untuk tujuan mendapatkan habuan haram.

Sebelum mengakhiri sumpahnya, Najib sekali lagi melafazkan kesediaannya untuk dilaknat Allah SWT jika beliau berbohong.

“Sekiranya aku berdusta di atas sumpah ku ini, ya Allah…Maka ya Allah halallah laknat ke atas diriku.

“Sebaliknya jika semua ini fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politik ku, maka ya Allah aku bermohon sesungguhnya kepada Mu agar engkau laknati lah mereka, serta orang-orang yang bersubahat dan bersekongkol dengan mereka,” katanya. 

Para jemaah yang hadir menyambut ucapan Najib dengan ucapan “amin”. -Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here