Ben Ibrahim
SEORANG guru besar bertugas di sebuah sekolah di Raub, didakwa dengan dua pertuduhan membabitkan tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Tertuduh, Lee Wai Teng, 58, didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Lui, dalam daerah Raub pada 6 Disember 2017.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Wai Teng pada tarikh berkenaan didakwa mengemukakan dokumen mengandungi set tuntutan pembekalan makanan untuk program klinik sukan pra sekolah bertarikh 21 November 2017 mengandungi butiran palsu kepada pembantu tadbir.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa secara curang mengemukakan dokumen sama pada tarikh sama sebagai dokumen tulen sedangkan mengetahui bahawa dokumen berkenaan adalah palsu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama bagi pertuduhan pertama.
Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama jika sabit kesalahan.
Wai Teng bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh, namun peguam mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di pejabat SPRM Raub setiap bulan, selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Hakim menetapkan 15 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Malaysiapost

