Serang guru tahfiz, 5 lelaki dipenjara 10 bulan

0
1

LIMA lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret, Lipis, Pahang hari ini atas pertuduhan menceroboh pusat tahfiz serta menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru tahfiz dalam kejadian 11 Ogos lalu.

Kelima-lima tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38, Zulkifli Mohd Nasir, 27, Azraen Che Mat Noor, 43, Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, Rizuwan Hazmi, 47 mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam, Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Siti Aisyah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap, lapor Malaysiagazette.

Berdasarkan fakta kertas pertuduhan, kesemua lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras pukul 5.10 petang, pada 3 Ogos lalu

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan kelima-kelima tertuduh dihukum 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Sementara itu, tiga tertuduh, Wan Haris, Zulkifli dan Azraen didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang guru di lokasi dan waktu yang sama.

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh lapan bulan penjara dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here