PRU15: PAS tekad pastikan agenda satu lawan satu menentang PH

0
2

PAS bertekad menjayakan agenda satu lawan satu menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata partinya akan terus berusaha menjayakan penyatuan ummah sekali gus memastikan agenda satu lawan satu dalam PRU15 akan datang dapat dicapai.

Justeru, Khairil Nizam menegaskan, agenda ini memerlukan penyatuan parti-parti politik Melayu-Islam bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam PRU14 yang lalu.

“Kemenangan PH jelas menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara.

“Pemerintahan PH selama 22 bulan telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada kepentingan rakyat bahkan juga kepada kedaulatan negara dan kepentingan umat Islam serta bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, PAS kekal dengan prinsip politiknya untuk terus berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU15 melalui apa jua kaedah dan cara selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti.

Khairil Nizam berkata, penyatuan ummah yang didukung PAS ini berlandaskan kepada tiga prinsip utama yang telah digariskan oleh Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Adil kepada semua, satu Keluarga Malaysia dan Islam memimpin.

“Seiring dengan slogan ‘Islam Menyatukan Ummah’, PAS menyeru kepada semua pihak untuk mendukung agenda penyatuan ummah ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here