MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein digesa untuk memberi perjelasan mengenai keputusan mengurangkan jumlah kapal tempur pesisir (LCS) yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan.
Veteran DAP Lim Kit Siang, berkata Hishammuddin juga perlu menjelaskan mengapa beliau mengambil keputusan dalam tempoh masa tiga bulan sahaja bagi mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan tanpa kos tambahan kepada kerajaan dari dua kapal kepada sebuah.
“Hishammuddin perlu menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan dari dua buah kepada sebuah ini.
“Menteri Pertahanan juga perlu menjelaskan mengapa dalam masa tiga bulan saja, dia telah mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan tanpa kos tambahan kepada kerajaan dari dua buah kepada sebuah.
“Bagaimanapun, saya puji Hishammuddin kerana menyahrahsiakan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai projek Kapal Tempur Pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan juga kerana membawa isu untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai perkara ini kepada Kabinet semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Hishammuddin perlu meletakkan jawatan sekiranya gagal meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal LCS.
“Seperti yang saya katakan semalam, Hishammuddin perlu meletakkan jawatannya sebagai menteri pertahanan sekiranya dia gagal untuk meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini.
“Kerana perkara ini menunjukkan yang pendapat dan cadangannya sebagai menteri pertahanan mengenai perkara berkaitan pertahanan negara tidak pandang relevan dan serius oleh menteri-menteri lain dalam Kabinet.
“Saya telah berikan 20 sebab mengapa perlu adanya RCI untuk menyiasat skandal LCS ini. Sebab ke-21 adalah laporan JKSTUPKK itu sendiri, walaupun dengan redaksi,” katanya.
Semalam, Hishammuddin berkata, tiada dana tambahan diperuntukkan sekiranya LCS TLDM yang pertama tidak disiapkan mengikut jadual.
Katanya, tumpuannya kali ini adalah memastikan dalam masa terdekat ini, kapal pertama LCS dapat disempurnakan. – Malaysiapost

