UMNO amat dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak memasukkan bukti tambahan menghadapi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Biarpun tidak berhasrat mencampuri urusan mahkamah, kenyataan Umno itu berhubung kait keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bukti tambahan membabitkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno memandang berat pendedahan berkaitan Mohd Nazlan berkenaan tuduhan penglibatannya dalam penubuhan SRC International Sdn. Bhd.
“Walhal beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak dalam kes bersabit syarikat yang sama.
“Kedudukan Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.
“Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman bahawa mana-mana Hakim sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada dalam keadaan konflik kepentingan, perlu mengecualikan diri dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.
Katanya, lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan.
“Semua ini sebenarnya boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.
“Umno bertegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah. Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan Isnin lalu menolak permohonan peguam utama Najib yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir dengan alasan pasukan peguam memerlukan lebih masa untuk mengkaji kes berkenaan dan membuat persiapan. – Malaysiapost

