Wanita rempuh pintu pagar rumah bekas teman lelaki ditahan

0
1

SEORANG wanita ditahan kerana merempuh pintu pagar rumah bekas teman lelakinya awal pagi semalam dengan sebuah kereta selain turut mengugut ingin membakar premis perniagaan keluarga lelaki terbabit.

Wanita berusia 20 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di kawasan Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patah, Johor Bahru kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata sebelum ditahan, wanita terbabit pada jam 5 pagi dilapor melakukan perbuatan ugutan dan khianat.

“Polis mendapati sebelum kejadian itu berlaku seorang ahli keluarga bekas teman lelaki wanita terbabit telah menerima ugutan melalui aplikasi Weechat daripada suspek yang hendak membakar perniagaan milik keluarganya dan juga merosakkan harta keluarganya.

“Suspek turut mengirimkan satu video memaparkan seseorang sedang mencurahkan cecair disyaki minyak petrol di hadapan kedai perniagaan motosikal milik keluarga pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan sepasukan polis dari Balai Polis Taman Perling telah ke lokasi rumah bekas teman lelaki wanita terbabit.

“Polis mendapati sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dipercayai dipandu suspek telah merempuh pintu pagar bahagian hadapan rumah mangsa dan suspek terus melarikan diri dengan kereta sama.

“Pihak polis telah mengekori dan berjaya menahan suspek di Tol Lima Kedai. Wanita terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun saringan awal air kencing mendapati suspek berada dalam pengaruh dadah jenis Benzo,” katanya.

Menurutnya, perbuatan wanita terbabit merempuh pagar rumah bekas teman lelakinya juga dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kejadian mengakibatkan pintu pagar automatik rumah berkenaan tercabut serta menghempap kereta milik bapa bekas teman lelakinya itu dimana kerugian dianggarkan RM15,000.

“Siasatan mendapati suspek adalah bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu dimana pasangan itu didapati telah putus hubungan pada Julai lalu.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here