Umno tak ingin ‘tumpang’ Pas Kedah

0
1
Muhammad Sanusi Md Nor

UMNO Kedah menolak pelawaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya parti berkenaan ‘menumpang’ kekuatan Pas Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, menyifatkan pelawaan itu sebagai ‘pinggan tak retak, nasi tak dingin’.

“Demikianlah cara orang lama dulu-dulu berbahasa dalam menolak dan mengetepikan sebarang sangkaan bahawa kita terkinja-kinja berkehendakan orang.

“Dalam dunia ini, memang wujud pihak-pihak yang merasakan mereka terlalu elok, terlalu besar, terlalu dimahukan sehingga menganggap semua orang mahu bersama mereka.

“Saya ingin menggunakan ungkapan yang sama untuk menjawab ‘pelawaan’ PAS Kedah agar UMNO ‘menumpang’ kekuatan parti tersebut dalam PRU akan datang. Terima kasih, tetapi kami tidak berminat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, pada Sabtu lalu yang menganggap Umno sebagai parti yang tidak sekuat dahulu, namun boleh menumpang kekuatan Pas Kedah.

Shaiful Hazizy menegaskan, Umno tidak mahu ‘berkasih sayang’ hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai kerana itu tidak ikhlas.

“Penolakan ini bukan kerana kita sombong dan tidak sukakan penyatuan. Tetapi, asasnya jelas dan konsisten. Pertama, penyatuan haruslah atas niat dan sebab yang baik.

“Kedua, Umno Kedah mahu dinilai dan dipilih kerana keupayaan dan kesungguhan.

“Ketiga, Umno tidak mahu ‘merosakkan’ Pas,” katanya.

Beliau berkata, Umno sebagai ‘itik patah kaki’, ‘harimau kena tembak’ dan segala jenis lagi gelaran dan panggilan Pas, percaya Umno bukan rakan kongsi yang baik dan secocok kepada Pas.

“Tanpa Umno pun, bukankah Pas sudah mengisytiharkan kemenangan 22 kerusi? Jadi, kami kalungkan ucapan tahniah dan selamat bekerja kami ucapkan.

“Yang pasti, Umno akan turun ke medan PRU dengan semangat, iltizam dan perancangan masa depan yang baik untuk Kedah.

“Biar apa pun, terima kasih kepada Pas kerana menganggap Umno rakan kerjasama yang layak diajak berganding tangan dalam PRU akan datang. Tetapi, seperti yang saya sebutkan tadi. Pinggan tak retak, nasi tak dingin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here