Bersatu sokong tubuh RCI siasat skandal pembelian LCS

0
2

BADAN Pimpinan Bersatu Pahang menyokong penuh keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam buah kapal tempur pesisir (LCS).

Ketuanya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sokongan penubuhan RCI itu dibuat menerusi memorandum yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim pada 10 Ogos lalu.

Katanya, isu berkenaan telah mencemarkan nama baik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kerana pihak berkepentingan telah mencampuri urusan angkatan tentera tanpa kebenaran Yang di-Pertuan Agong, dan membuat keputusan dengan membelakangkan TLDM khususnya dari segi mendapatkan pandangan TLDM sebagai ‘end user’ iaitu menggunakan rekabentuk SIGMA berbanding GOWIND,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, adalah lebih parah lagi apabila projek rundingan terus yang menggunakan wang rakyat sebanyak RM6.083 billion tersebut masih lagi belum menampakkan sebarang hasil.

“Ini kerana belum ada satu pun kapal yang telah diserahkan kepada pihak TLDM dan sudah pastinya semua pemegang taruh terutamanya rakyat jelata mahukan kepastian dalam natijah urusan ini.

“Justeru, atas dasar ini pihak Badan Pimpinan Bersatu Negeri Pahang menyokong penuh penyampaian memorandum oleh YBhg Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Dan menggesa agar penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) disegerakan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan telus, serta demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here