Sindiket cuci dadah lama diberkas

0
1

KEGIATAN sindiket dadah yang mencuci dadah lama untuk dibaharukan menjadi dadah jenis syabu berjaya ditumpaskan dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pekan Nenas, Pontian, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam serbuan bermula jam 11.15 pagi itu, tiga suspek ditahan membabitkan dua lelaki termasuk seorang warga asing dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 49 tahun.

Beliau berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menyewa apartment mewah untuk dijadikan tempat penyimpanan dan mencuci dadah.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak Mac lalu dan mereka menggunakan tempat ini juga digunakan untuk menyimpan dan membersihkan dadah.

“Kerana kita dapati ada bahan-bahan kimia ditemui dalam serbuan ini dipercayai ada proses pencucian iaitu dari dadah lama untuk dibaharukan menjadi ‘ice’ atau syabu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurutnya, dadah yang dirampas adalah 11.13 kilogram (kg) syabu bernilai RM400,680; ketamin 4.23kg bernilai RM233,090 serta 139 gram atau 440 biji pil erimin 5 bernilai RM10,425 dan keseluruhan rampasan dadah adalah bernilai RM644,195.

Beliau berkata, turut disita enam kereta bernilai RM346,000, wang tunai RM109,840 dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM7,758.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan adalah lebih RM1.107 juta dan jika dadah ini terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 77,280 orang penagih dadah.

“Kita percaya dadah ini adalah untuk pasaran tempatan, tetapi kita tidak menolak kemungkinan jika mereka mempunyai peluang, memang dia akan membawa ke luar negara,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine serta semakan juga mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara kerana memiliki pasport dan kad pengenalan yang disyaki palsu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here