TIMBALAN Menteri Perpaduan mempersoalkan pemberian dana daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) lebih RM93,000 kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk sambutan ulang tahun kelahiran isteri Presiden Umno itu.
Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga bertanya keperluan pemberian wang sebanyak RM125,000 kepada Ahmad Zahid bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2015.
“Betul-betul dahsyat Datuk Seri kita sorang ni. Tak ada beza pun antara dia dengan kawan baik dia, Datuk Seri Najib Razak.
“Oh ya, saya nak tanya, rakan-rakan Umno takkan diam je dengan skandal dan kontroversi yang terpalit pada pemimpin tertinggi kalian?
“Bayangkan kalau negara ini jatuh ke tangan mereka? Ini ke bentuk kestabilan yang dicanang? Kalau itulah caranya, habis punah-ranahlah negara ini!,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Hari ini, media melaporkan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi, UKSB menyerahkan wang tunai SG$1 juta dan RM3 juta secara sekali kepada Ahmad Zahid sempena sambutan ulang tahun Umno ke-71 serta pilihan raya.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya, V Mahendran, 38, berkata SG$1 juta itu diserahkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno itu pada Mei 2017, manakala RM3 juta pada 27 Mac 2018.
Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata, syarikat berkenaan juga memberi SG$30,000 kepada Ahmad Zahid untuk sambutan hari jadi isterinya dan RM125,000 bagi sambutan hari raya masing-masing pada Oktober 2017 serta Jun 2015.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).
Selain itu, Presiden Umno itu didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Malaysiapost

