AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq mempertikaikan mengapa projek pembinaan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak dibuat secara serentak.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, berkata sepatutnya kesemua enam kapal LCS itu dibina secara serentak namun sehingga Oktober 2020 kerja pembinaan masih belum dijalankan.
“Patutnya kesemua enam kapal LCS dibina secara serentak. Tapi sampai ke Oktober 2020, LCS enam masih tak dibuat-buat.
“Beli barang kapal sampai RM1.7 Billion. Tengok-tengok sampai luput barang-barang kapal terperap dalam stor,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.
Syed Saddiq berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan negara menanggung kerugian yang tidak sepatutnya mencecah RM255 juta.
“Rugi RM255 Juta macam tu je.Pandai ambil duit tapi kerja ke laut. Merugikan dan memalukan,” katanya.
Semalam, media melaporkan, pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS adalah sebanyak RM9 bilion dengan progres pembinaan lima kapal berkenaan ketika ini adalah 55 peratus.
Katanya, pembelian pukal peralatan membina enam kapal LCS adalah lebih murah, berbanding jika dibeli secara berasingan, selain menjelaskan sebahagian besar perbelanjaan berkenaan adalah untuk membina bentuk asas LCS, membabitkan reka bentuk asas dan terperinci dihasilkan Naval Group, Perancis. – Malaysiapost

